Kehidupan Dalam Solat
|
Solat dimulai dengan niat. Setiap pekerjaan mestilah dimulai dengan niat
yang betul untuk mendapat keberkatan dan rahmat Allah Yang Maha
Pengasih Lagi Maha Penyayang. Semuanya rapat dan lurus membuat barisan, ianya
penting sehinggakan dulunya diukur dengan mata pedang. Seia sekata membuat
gerakan, berjemaah lebih baik dari bersendirian, kerja berpasukan
menghasilkan sinergi dan lebih berkesan. Jumlah 1+1 bukan lagi sama dengan
2.Makmum diwajibkan mengikut imam, tidak boleh mendahului dan
mengingkarinya.
Sekiranya imam tersilap dan membuat kesalahan, beliau boleh dan
hendaklah ditegur. Ada cara menegurnya, ucapkan“SUBHANALLAH” bagi
lelaki dan TEPUK TANGAN bagi perempuan. Imam pula hendaklah
sentiasa peka dan tidak boleh lalai, bila ditegur semak kesilapan dan buat
pembetulan. Kalau makmum turuti juga kesalahan imam, alamatnya sama-samalah
tenggelam. Pemimpin yang baik pun seharusnya begitu, boleh ditegur dan
bersedia untuk ditegur.
Duduk di atas bukannya tiada batas. Imam dilantik bukan daripada
sembarangan orang, mereka mestilah yang mempunyai kelayakan,
keperibadian, akhlak dan pengetahuan. Apa tidaknya, tanggungjawab sebagai
imam itu besar. Mungkin tidak tersanggup oleh sesiapa jika dihalusi dan
difahami tanggungjawab yang perlu dijawab di akhirat nanti. Ketua dan
pemimpin perlu dilantik untuk melancarkan pekerjaan dan mengkoordinasi
tugasan. Yang dilantik pula perludipersetujui dan disenangi oleh
khalayak, tugasan tidak akan menjadi jika ramai “kepala”nya.
Kuasa yang dipegang pula tidak boleh disalahgunakan kerana justifikasi
perlu dibuat di hadapan “juruaudit” Yang Maha Agung di hari akhirat
nanti. Imam perlu peka terhadap makmum, tidak boleh terlalu
lama bacaan kerana mengambil kira mereka yang keuzuran. Begitulah juga seorang ketua
tugasan dan memerintah kawasan. Rintihan dan pandangan daripada orang bawahan
jangan tak dilayan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan
Dalam menjalankan tugasan, perkara penting kita perlu diberi
keutamaan. Tamak untuk menyelesaikan banyak perkara serentak membawa padah
bila semua kerja gagal diselesaikan dalam masanya dan dengan sebaik
mungkin.
Setiap gerakan ada tama’ninahnya (berhenti sementara).
Dalam kehidupan, diwajibkan 5 kali sehari semalam mengerjakan ibadah solat
sebagai peringatan. Tak boleh, KERJA! KERJA! KERJA! sampai abai
Allah s.w.t, anak bini, ibu bapa dan jiran tetangga.
Masa amat
dititikberatkan dalam mengerjakan solat. Perlu dilakukan dalam masa yang telah ditetapkan
dan disegerakan, kita tidak wajar bertangguh dalam mengerjakan
tugasan. Jika maklumat ataupun laporan dikeluarkan selepas masa ianya
diperlukan, ianya menjadi basi dan tidak berguna lagi. Tumpuan
perlu diberikan supaya tidak lalai dalam solat. Melakukan tugasan
sekadar melepaskan batuk di tangga dan tidak mendatangkan apa-apa
kebaikan. Selepas solat, tangan ditadah memohon kemaafan dan belas ihsan
daripada Alla s.w.t. Doa selepas usaha dilakukan, itulah sebaik-baik tindakan.
“DUNIA DI
TANGAN, AKHIRAT DI HATI”
Categories: